Petugas kesihatan Selcare membuat ujian calitan kepada peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Jangkitan Covid-19 di Selangor turun 60 peratus, catat 545 kes

SHAH ALAM, 21 JAN: Jangkitan harian Covid-19 di Selangor turun 60.8 peratus apabila mencatat 545 kes baharu berbanding 1,391 kes semalam.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu, 43 kes positif dikesan dari kluster sedia ada dan kluster baharu manakala 263 pula hasil saringan kontak rapat.

“Terdapat satu jangkitan luar negara sementara 238 kes berpunca daripada lain-lain saringan Covid-19. Jumlah kematian pula tiga orang,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media.

Mengulas lanjut, beliau berkata daripada 16 kluster baharu Covid-19 yang dikesan, dua daripadanya di Selangor membabitkan jangkitan tempat kerja dan golongan berisiko.

“Daripada kluster Jalan Canang Emas dan kluster Jalan Kelapa, Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti 20 kes positif hasil saringan dari kedua-dua kluster berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melaporkan sebanyak 1,502 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pulih 42,816.

Sehingga kini sebanyak 109 kematian dilaporkan manakala terdapat 8,256 kes aktif.


Pengarang :