Selangorkini
Petugas kesihatan memasukkan sampel calitan ke dalam bekas khas untuk menjalani ujian makmal ketika program Saringan Komuniti Covid-19 Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMA SELANGOR

Jangkitan Covid-19 naik di Selangor, catat 1,391 kes dan empat kematian

SHAH ALAM, 20 JAN: Kes harian Covid-19 di Selangor meningkat sebanyak 192 kepada 1,391 kes hari ini berbanding 1,199 semalam.

Ketua pengarah kesihatan berkata empat kematian turut direkodkan membabitkan lelaki warganegara berusia lingkungan umur 54 hingga 81 tahun.

“Selangor masih melaporkan kes harian baharu tertinggi. Daripada jumlah baharu, 1,061 kes berpunca dari kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

“Manakala 329 kes pula daripada lain-lain saringan dan satu kes berpunca dari jangkitan luar negara,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau menambah daripada 16 kluster baharu yang dilaporkan, dua adalah di Selangor membabitkan tempat kerja.

“Ia dikenali sebagai kluster Bestari Rantau dan Tapak Bina Jalan Abdul Aziz. Sebanyak 72 kes positif Covid-19 dikesan daripada kedua-dua kluster berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melaporkan 644 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pulih 41,314, selain 9,220 kes aktif dan 102 kematian.


Pengarang :