Selangorkini
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Ramli Mohd Tahir. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM: Lebih 8,000 pekerja bakal terima bakul makanan

SHAH ALAM, 22 JAN: Seramai 8,432 pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) yang bertugas di lapangan akan mendapat manfaat bantuan bakul makanan.

Pengarah urusannya berkata sumbangan beras berjumlah RM100,000 diberikan kepada pemandu lori, kru kutipan dan pembersihan awam melalui pejabat cawangan di seluruh pihak berkuasa tempatan bermula minggu depan.

“Sumbangan kecil ini sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang bekerja 365 hari setahun dalam memastikan kutipan sampah dan pembersihan dibuat mengikut jadual demi menjamin kebersihan persekitaran.

“Diharap ia memberi semangat baharu kepada golongan tersebut yang juga dianggap petugas barisan hadapan untuk terus bekerja walaupun dalam tempoh mencabar Covid-19,” kata Ramli Mohd Tahir ketika dihubungi.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM1.3 juta untuk pelaksanaan bantuan Bakul Makanan kepada penduduk Selangor yang terjejas susulan pandemik.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Kita Selangor memaklumkan sumbangan diagih kepada pemandu teksi, bas sekolah, penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan pemandu lori KDEBWM.

Sementara itu, Ramli berkata pihaknya menyambut baik komitmen Kerajaan Negeri dalam meringankan beban golongan terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita juga akan melihat bentuk bantuan lain yang mungkin boleh disalurkan kepada mereka sekiranya PKP dilanjutkan,” katanya.


Pengarang :