Sumber Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

KDNK Malaysia tahun ini dijangka tumbuh 5.1 peratus

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Ekonomi Malaysia dijangka meningkat semula tahun ini dengan kesan ketara susulan pelbagai perkembangan pada 2020 yang menyebabkan ekonomi global meleset, termasuk di negara ini, semakin berkurangan.

Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) Suhaimi Ilias berkata Malaysia diunjur mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 5.1 peratus tahun ini berbanding unjuran awal penguncupan sebanyak 5.4 peratus pada 2020.

“Bagaimanapun, gelombang ketiga Covid-19 yang menyaksikan lonjakan kes akan terus menjadi faktor penurunan, terutama dari segi pembukaan semula sempadan.

“Kita juga dapat melihat bagaimana rancangan Singapura dan Hong Kong untuk melaksanakan koridor perjalanan udara selamat masing-masing telah ditunda akibat faktor itu,” katanya dalam sesi taklimat media hari ini.

Mengulas aspek pekerjaan, beliau menyifatkan segmen itu kekal tidak menentu walaupun ada pekerja yang telah kembali bertugas.

“Namun, apa yang kita bimbangkan adalah mengenai guna tenaga tidak penuh yang akan menjadi isu dalam pasaran kerja,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata ringgit pula diunjur bergerak ke arah paras 3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang jangkaan kelemahan pasaran negara maju itu serta faktor lain termasuk ketegangan Washington-Beijing.

Bagi minyak sawit mentah, beliau menjangkakan harga komoditi itu mencecah sekitar RM2,500 satu tan manakala minyak mentah Brent yang juga penanda aras global diunjur didagangkan pada AS$45.50 setong.

Menyentuh usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara, beliau berkata ini akan bergantung kepada beberapa faktor seperti kos menjalankan perniagaan, kestabilan politik dan dasar.

“Kita perlukan dasar yang lebih jelas mengenai insentif pelaburan. Apa lagi dengan (pelancaran) Rancangan Malaysia Ke-12 yang ditunda pada Mac depan, para pelabur lebih bersikap tunggu dan lihat sementara menantikan dasar yang lebih jelas. Sebagaimana yang kita lihat, Belanjawan 2021 mempunyai insentif bagi FDI yang bernilai tinggi,” katanya.

Sementara itu mengulas ekuiti, Ketua Penyelidikan Ekuiti Serantau Maybank Kim Eng Anand Pathmakanthan berkata syarikat tersebut menjangkakan bahawa indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencecah paras 1,830 menjelang akhir 2021.

“Tahun ini kelihatan agak baik berikutan pemulihan ketara sebanyak 45 peratus dalam pertumbuhan pendapatan tahun ke tahun daripada penguncupan 11 peratus pada 2020.

“Ini akan didorong oleh sektor khusus yang terus mencatat prestasi memberangsangkan seperti saham sarung tangan selain pemulihan sektor seperti permainan, kewangan, perladangan, minyak dan gas yang menyuntik pemulihan MSM dan harga minyak,” katanya.

Beliau berkata walaupun projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) telah ditamatkan, prospek sedia ada kekal kukuh berikutan terdapatnya projek-projek mega lain seperti Transit Aliran Ringan 3, Transit Aliran Massa dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang akan diteruskan.

“Rangsangan fiskal kerajaan akan menggerakkan ekonomi bagi mencapai sasaran pertumbuhan KDNK pada 2021. Pakej rangsangan berkenaan akan turut meningkatkan lagi prospek pertumbuhan secara menyeluruh dan bagi sektor khusus seperti pembinaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :