Suasana lengang kedai dobi layan diri 24 jam ketika tinjauan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Kuala Lumpur pada 14 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kedai dobi layan diri dibenar kembali operasi, patuhi SOP

SHAH ALAM, 14 JAN: Kerajaan hari ini membenarkan kedai dobi layan diri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beroperasi semula.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun waktu operasi hanya dibenar bermula dari jam 6 pagi hingga 8 malam sahaja.

Menurutnya, pemilik premis juga perlu mematuhi syarat ditetapkan seperti meletakkan kakitangan untuk melakukan pemantauan.

“Sebelum ini kita tidak membenarkan dobi layan diri dibuka kerana tiada siapa yang memantau dan menjaga, ia sekali gus dibimbangi ada yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

“Namun setelah mendengar keluhan serta rungutan orang ramai, kerajaan bersetuju untuk benarkan kedai dobi layan diri dibuka dengan syarat tuan punya kedai kena letakkan pekerja untuk mengawal dan awasi keadaan dalam kedai,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Namun, Ismail Sabri menegaskan, kesemua kedai berkenaan akan dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Sekiranya tiada penjaga, kedai dobi layan diri berkenaan akan ditutup. Kelonggaran ini diberi supaya memudahkan orang ramai,” katanya.

Susulan penguatkuasaan PKP pada 12 Januari lalu, kerajaan mengumumkan kedai dobi layan diri tidak dibenarkan beroperasi.


Pengarang :