Sekatan jalan raya dilakukan oleh anggota polis dan tentera di laluan keluar masuk Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam pada 16 Januari 2021, hari keempat Perintah Kawalan Pergerakan. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Kelantan negeri pertama dilawati jawatankuasa pengurusan darurat

PASIR MAS, 30 JAN: Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat yang ditubuhkan pada 16 Jan lepas memulakan lawatan ke negeri-negeri hari ini dengan Kelantan menjadi lokasi pertama.

Pengerusi bersama jawatankuasa itu Datuk Takiyuddin Hassan berkata hari ini mereka meninjau sempadan Malaysia-Thailand bagi melihat keperluan serta langkah yang perlu dilaksanakan dalam mengekang penularan Covid-19 dari luar negara.

Hasil lawatan hari ini akan dibentangkan pada pertemuan dengan pimpinan kerajaan negeri esok, katanya kepada pemberita selepas tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dekat Rantau Panjang.

Terdahulu, Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mengadakan lawatan ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di Tumpat.

Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat ditubuhkan bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara berjalan lancar dan ia dipengerusikan secara bersama oleh Takiyuddin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Jawatankuasa itu turut dianggotai lapan ahli tetap iaitu ketua pengarah Perkhidmatan Awam, ketua setiausaha Perbendaharaan, peguam negara, panglima angkatan tentera, ketua polis negara, ketua pengarah kesihatan, ketua pengarah keselamatan negara dan ketua kluster.

Penubuhan jawatankuasa itu merupakan susulan perisytiharan darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bermula 12 Jan lalu hingga Ogos tahun ini sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :