Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Emile Muller, Mulhouse, Perancis pada 8 Januari 2021. Foto AFP
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan digesa tingkatkan keyakinan rakyat terhadap vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Gabungan Kesihatan Malaysia menggesa kerajaan untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap vaksin Covid-19, tatkala kurang sebulan proses rancangan pemvaksinan akan dijalankan di seluruh negara.

Gabungan itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan masih banyak perkara perlu dilakukan bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap vaksin berkenaan memandangkan kini terdapat banyak cerita mengenai antivaksin, teori konspirasi dan maklumat palsu yang berleluasa di media sosial serta dalam kumpulan sembang.

“Kerajaan perlu terlibat dengan semua lapisan masyarakat untuk meningkatkan pendidikan awam mengenai vaksin dan menangani maklumat salah.

“Kita juga mendesak pihak berkepentingan badan bukan kerajaan termasuk media, akademik, perniagaan, pihak berkuasa agama dan persatuan komuniti memainkan peranan dalam memastikan hanya maklumat berdasarkan bukti mengenai vaksin diterbitkan dan dikongsikan,” katanya.

Gabungan itu juga mencadangkan agar kerajaan memberi keutamaan terhadap golongan rentan dan membangunkan kemampuan pembuatan vaksin jangka panjang.

Menurut gabungan itu, penghuni rumah jagaan adalah antara golongan paling lemah dalam populasi, oleh itu, mereka perlu diberi keutamaan dalam jadual pemvaksinan.

Ini termasuk pekerja rumah jagaan, golongan rentan yang lain, golongan kurang upaya, pekerja migran dan pelarian.

Mengenai membangunkan kemampuan pembuatan vaksin jangka panjang, MHC mencadangkan agar kerajaan merebut peluang untuk mengembangkan infrastruktur berkenaan di Malaysia yang akan dibuat secara menyeluruh iaitu bermula daripada penyelidikan sainstifik bertaraf dunia hingga ke pembuatan dan pengedaran di peringkat antarabangsa.

“Ini adalah cita-cita tinggi, namun ia dapat dicapai kerana Malaysia sudahpun dilengkapi dengan sumber manusia dan teknologi berkaliber tinggi.

“Faktor ini akan mengurangkan pergantungan Malaysia terhadap pengeluar asing. Lebih-lebih lagi, vaksin domestik dan infrastruktur farmaseutikal akan memberi impak positif yang besar terhadap ekonomi dan kedudukan global kita,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :