Setiap premis perniagaan wajib menyediakan kod QR aplikasi MySejahtera untuk diimbas pelanggan sebelum masuk ke kedai selain menyediakan alat penyukat suhu dan cecair pembasmi kuman bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan pada 24 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan tegas tutup sementara kilang, premis niaga gagal patuh SOP

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Kerajaan akan menutup sementara operasi kilang dan premis perniagaan yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) penguatkuasaan pencegahan Covid-19 dan sekiranya didapati berlaku jangkitan kes di kawasan itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pengusaha kilang yang gagal mewajibkan pekerja warga asing untuk membuat ujian saringan Covid-19.

Beliau berkata sehingga kini, sembilan kilang dan 16 premis perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diarahkan tutup oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Kita serius dari segi memastikan tiada jangkitan Covid-19 di kilang sama ada ditutup sementara sehingga kes selesai dan kita pastikan pekerja-pekerja mereka bebas daripada Covid-19,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan kes positif dan jumlah kluster Covid-19 di tempat kerja yang telah menyumbang kepada peningkatan jumlah kes positif Covid-19 harian.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata meskipun pasangan jarak jauh (PJJ) dibenarkan untuk merentas negeri bagi melawat pasangan atau keluarga masing-masing, mereka masih perlu mendapat kelulusan daripada pihak polis dengan membawa dokumen pengesahan dan turut disarankan membuat ujian saringan Covid-19.

Ditanya mengenai tindakan sesetengah pihak pengurusan kondominium yang mengarahkan penyewa membuat ujian calitan Covid-19 sebelum memasuki unit kediaman, beliau berkata tindakan itu adalah dibenarkan.

Katanya walaupun Majlis Keselamatan Negara tidak mengeluarkan polisi itu, agensi tersebut tidak menghalang pihak pengurusan kondominium atau kawasan perumahan berbuat sedemikian bagi menjaga keselamatan penduduk.

Ismail Sabri juga berkata pihak polis boleh menggunakan budi bicara dan membenarkan penduduk yang tinggal di kawasan sempadan merentas negeri untuk mendapatkan kemudahan di bandar yang lebih dekat.

“Adalah munasabah untuk membenarkan rentas negeri bagi mendapatkan barang keperluan di bandar yang paling hampir dengan mereka.

“…radius yang dibenarkan untuk keluar adalah maksimum 10 kilometer (km) tetapi kalau bandar dalam negeri tersebut berada dalam 15 km sedangkan bandar di negeri lain (bersebelahan) adalah tiga km, saya harap pihak polis benarkan (rentas negeri),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita sama ada kerajaan mempertimbang kebenaran bagi penduduk di kawasan sempadan seperti Hulu Bernam, Selangor merentas negeri untuk ke Pekan Tanjung Malim di Perak kerana kemudahan di situ lebih dekat.

– BERNAMA


Pengarang :