Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Facebook
AGENDANASIONAL

Kerajaan tiada perancangan awal, pengumuman hanya cetus ketidaktentuan

SHAH ALAM, 18 JAN: Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai perancangan awal yang jelas meskipun sudah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan berkenaan sebaliknya hanya mencetuskan panik dan ketidaktentuan dalam negara.

“Muhyiddin (Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah meletakkan negara ini dalam lembah percanggahan. PKP menjadi acara tahunan sia-sia tanpa sebarang makna dan hasil.

“Apa yang kelihatan seolah bersyarat, namun nampaknya semacam akan kekal. Cakap-cakap tentang pemulihan ternyata omong kosong,” katanya dalam kenyataan, petang semalam.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata sepatutnya kerajaan membantu rakyat kembali percaya terhadap kemampuan masing-masing sekaligus mencipta kekuatan baru mengharungi kemelut.

“Sebaliknya, kerajaan ini terus menyusah dan membodohkan rakyat. Kerajaan hari ini anggap rakyat seperti kanak-kanak. Tidak, rakyat di negara inilah yang memungkinkan sebuah tatanan bernama Malaysia.

“Sekiranya kerajaan ini tidak mampu percaya pada rakyat dan yakin pada rakyat, bagaimana mungkin mereka harapkan perkara sama. Apatah lagi untuk patuh tatacara operasi piawai (SOP) yang sentiasa berubah setiap masa,” katanya.

Anwar berkata langkah mengisytiharkan darurat oleh Muhyiddin adalah tindakan terdesak dan melulu tanpa sebarang asas kukuh.

“Tindakan itu langsung melebarkan jurang antara rakyat dan kerajaan. Muhyiddin minta kita percaya dia tatkala kediktatoran beliau semakin menonjol.

“Keyakinan terhadap kepimpinan beliau juga semakin merosot tatkala seorang demi seorang ahli parlimen menarik sokongan. Apakah kita masih boleh percaya dengan kerajaan hari ini?” katanya lagi.


Pengarang :