Air Selangor giat menjalankan kerja pembaikan paip pecah di Jalan Sering, Taman Sungai Sering, Cheras pada 8 Januari 2021. Foto Twitter Air Selangor
AGENDANASIONAL

Kerja baiki paip pecah Jalan Sering siap 38 peratus

SHAH ALAM, 8 JAN: Pelaksanaan kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di Jalan Sering, Taman Sungai Sering, Cheras mencapai tahap 38 peratus setakat jam 6 petang.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan menjangka kerja tersebut siap sepenuhnya jam 3 pagi esok.

“Bekalan air akan mula disalurkan kepada premis pengguna setelah kerja pembaikan siap dilaksanakan,” kata Elina Baseri.

Beliau berkata bantuan bekalan air digerakkan melalui lori tangki ke kawasan terjejas dan perkembangan pemulihan akan dimaklumkan dari masa ke masa.

Sebanyak 121 kawasan Hulu Langat, Petaling dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pemasangan paip pembentungan oleh pihak ketiga pada 2 Januari lalu.

Maklumat terkini boleh didapati melalui laman sesawang www.airselangor.com, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Kawasan yang terjejas dan menerima air berperingkat selepas bekalan distabilkan seperti dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.


Pengarang :