AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kerja baiki paip pecah selesai, 121 kawasan terjejas terima bekalan

SHAH ALAM, 9 JAN: Kerja pembaikan paip pecah di Jalan Sering, Cheras telah selesai sekali gus membolehkan pengguna di 121 kawasan menerima semula bekalan air.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan pengguna yang terjejas di kawasan Hulu Langat, Petaling dan Kuala Lumpur dijangka menerima bekalan air secara berperingkat bermula jam 2 pagi tadi.

“Hasil komitmen tinggi dan kerja berpasukan, kerja pembaikan paip pecah di Jalan Sering, Cheras dapat disiapkan dalam tempoh 10 jam, bermula dari jam 1 petang semalam sehingga jam 11 malam tadi.

“Bekalan air kini telah dibuka semula dan pengguna dijangka akan mula menerima bekalan air pada jam 2 pagi secara berperingkat-peringkat,” kata agensi itu menerusi kenyataan di Facebook.

Pada masa sama, Air Selangor turut menasihatkan penduduk supaya membiarkan air pili mengalir seketika sehingga jernih.

“Apabila bekalan air sudah diterima, biarkan ia mengalir dahulu sebelum digunakan untuk memasak, mandi dan membasuh,” katanya.

Semalam dilaporkan, 121 kawasan di Hulu Langat, Petaling dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ia susulan kerja pemasangan paip pembentungan oleh pihak ketiga pada 2 Januari lalu akibat kejadian paip pecah di Jalan Sering, Taman Sungai Sering, Cheras.


Pengarang :