Kerja-kerja pemasangan cerucuk untuk pembinaan tapak jejambat di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat pada 3 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerja pembinaan kritikal boleh diteruskan sepanjang PKP – KKR

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dalam sektor pembinaan, semua kerja pembinaan di enam negeri yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Johor, Melaka, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Selangor, Pulau Pinang dan Sabah, perlu dihentikan sepanjang tempoh PKP yang bermula esok.

Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata bagaimanapun terdapat pengecualian diberikan ke atas kerja pembinaan tertentu yang dikategorikan dalam senarai Perkhidmatan Perlu bagi memastikan kelangsungan sektor berkenaan.

“Terdapat lima kategori dalam sektor pembinaan yang diberikan pengecualian iaitu kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal; kerja-kerja pembinaan infrastruktur awam utama; kerja pembinaan bangunan; perkhidmatan profesional atau perunding dan serta perkhidmatan lain di dalam rantaian bekalan seperti bekalan bahan binaan, penghantaran bahan dan sebagainya

“Maklumat terperinci jenis-jenis kerja ini akan dinyatakan dengan jelas di bawah tatacara operasi piawai (SOP) sektor pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19 dari tapak bina ke komuniti setempat, kawalan pergerakan keluar masuk pekerja binaan ke tapak pembinaan dan penginapan pekerja (CLQ) juga perlu diambil berat.

“Kontraktor perlu menyediakan pengangkutan terhad untuk membawa pekerja dari CLQ ke tapak bina dan balik ke CLQ tanpa persinggahan ke lain-lain tempat.

“Oleh itu, kontraktor perlu memastikan semua keperluan harian pekerja di tapak pembinaan termasuk makanan dan keperluan pembersihan diri disediakan sepenuhnya bagi mengelakkan pekerja mereka perlu ke kedai runcit atau gerai makanan yang akan menyebabkan pergaulan berlaku dengan penduduk setempat,” katanya.

Semua pekerja binaan juga tidak dibenarkan berpindah dari satu tapak bina ke satu tapak bina yang lain sepanjang tempoh PKP ini bagi mengelakkan penularan wabak dari satu tapak pembinaan ke tapak yang lain.

“Pegawai Penguasa Projek adalah bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan SOP sepenuhnya apabila kerja-kerja pembinaan dijalankan sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Bagaimanapun, kebenaran beroperasi untuk semua kategori syarikat pembinaan yang terlibat dengan sesuatu projek, perlu diperolehi dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui portal CIMS MITI (COVID-19 Intelligent Management System) di ruangan ‘notifications miti.gov.my’.

Sebarang pertanyaan mengenai operasi sektor pembinaan sepanjang PKP boleh diajukan kepada CIDB Careline di talian 03-5567 3300 (Isnin hingga Jumaat dari pukul 8.00 pagi hingga 5.30 petang)

— BERNAMA

 


Pengarang :