Petugas Kesihatan Selcare melakukan saringan Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Kes Covid-19 di Selangor kembali catat empat angka

SHAH ALAM, 23 JAN: Kes baharu Covid-19 di Selangor kembali meningkat kepada 1,421 selepas dua hari berturut-turut mencatat tiga angka, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 46 daripada keseluruhan kes tersebut melibatkan tahanan penjara di Hulu Langat, Gombak dan Petaling.

“Selain itu KKM mengesan satu kluster baharu di Selangor iaitu kluster Tapak Bina Lebuh Puteri di Petaling. Seramai 200 individu disaring dengan 19 daripadanya positif.

“Pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Selangor adalah 53,384 kes dengan 8,800 daripadanya kes aktif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Secara keseluruhan Malaysia merekodkan kes harian tertinggi sejak wabak menular dengan 4,275 kes.
Selain itu seramai 4,313 individu dilaporkan sembuh, juga tertinggi sejak pandemik melanda negara.


Pengarang :