Mohd Khairuddin Othman ketika ditemui pada program Kembali Ke Sekolah fasa dua di Econsave Sungai Buloh, Shah Alam pada 10 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

Kes Covid-19 makin serius, wakil rakyat setuju laksana semula PKP

SUNGAI BULOH, 10 JAN: Wakil rakyat Paya Jaras bersetuju jika kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara bersasar bagi mengawal penularan Covid-19.

Mohd Khairuddin Othman berkata langkah itu wajar memandangkan beberapa negeri terutama Selangor mencatat peningkatan kes harian Covid-19 membimbangkan.

“Wajar jika PKP dilaksana memandangkan Selangor mempunyai kes yang tinggi dan masyarakat perlu serius mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, beliau memaklumkan sejumlah RM600,000 dibelanja tahun lalu bagi menyediakan bantuan makanan kepada penduduk sekitar Paya Jaras yang terjejas susulan Covid-19.

Mohd Khairuddin menjelaskan sumbangan dikhususkan kepada keluarga berpendapatan rendah sedia diteruskan jika PKP dikuat kuasa semula di negeri ini.

“Jika berlaku lagi PKP, kita faham kesusahan yang bakal dihadapi rakyat, justeru kita sedia membantu mereka pada tahun ini,” menurutnya.


Pengarang :