Penduduk setempat keluar membeli barangan keperluan harian dengan mematuhi norma baru dengan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal ketika tinjauan di Pasar Nelayan Kubang Rotan pada 12 September 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Kes Covid-19 meningkat, MPK tangguh buka pasar pagi, tani

SHAH ALAM, 17 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menunda pembukaan pasar pagi dan tani di bawah pentadbirannya susulan peningkatan kes Covid-19.

Yang Dipertua Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata kes tertinggi dicatat di daerah itu pada Khamis dengan 652 kes dan 456 pada Selasa.

“Melihat kepada perkembangan semasa kes Covid-19 yang semakin meningkat sepanjang satu minggu ini, kami memutuskan pembukaan pasar ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“Namun, pasar awam di kawasan MPK masih dibenarkan beroperasi seperti biasa tetapi mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata MPK sentiasa memantau perkembangan status wabak terutamanya di kawasan pentadbirannya dari semasa ke semasa.

Pada 12 Januari lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasar harian dan pasar tani masih boleh beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, ia hanya beroperasi dari jam 7 pagi hingga 2 petang manakala pasar borong dari 12.01 tengah malam hingga 6 pagi dan 11 pagi hingga 4 petang.


Pengarang :