Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang Dewan Rakyat membahaskan Belanjawan 2021. Foto: Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Ketua pembangkang mohon batalkan darurat, parlimen bersidang

SHAH ALAM, 14 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa ahli parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong meminta agar Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membatalkan pengisytiharan darurat yang diumumkan kerajaan Selasa lalu.

Ketua pembangkang berkata beliau juga menggesa agar sidang Parlimen yang ditangguhkan susulan pengumuman itu diadakan semula.

“Dalam surat tersebut saya mencadangkan kepada semua YB ahli parlimen supaya mengemukakan rayuan dalam kadar segera dan hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan semua YB atau parti.

“Semoga warkah ini nanti mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pengisytiharan darurat dan seterusnya menitahkan agar sidang Parlimen harus diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari 2021,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata sidang Parlimen perlu diadakan bagi membahaskan isu darurat, Covid-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara.

Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal.

Pengisytiharan itu bagi membendung pandemik Covid-19 dengan mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu.


Pengarang :