Petugas Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memeriksa sampel air dari loji rawatan kumbahan IWK yang dicemari sisa buangan sebuah kilang membuat cat di Rawang pada 17 Januari 2021. Foto Facebook SPAN
AGENDANASIONAL

Kilang cat di Rawang lepas sisa buangan ke loji rawatan kumbahan IWK

PUTRAJAYA, 17 JAN: Sebuah kilang pembuatan dan penjualan cat di Taman Industri Nautical di Rawang, Selangor disyaki melepaskan efluen terlarang ke dalam loji rawatan kumbahan milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihaknya menerima aduan daripada IWK berhubung kemasukan efluen terlarang itu hari ini dan kemudiannya membuat pemeriksaan secara mengejut ke atas kilang berkenaan.

Katanya, kilang tersebut disyaki melepaskan efluen terlarang iaitu efluen pembuatan cat berwarna merah ke dalam sistem pembetungan awam dan seterusnya mengalir masuk ke Loji Pengolahan Kumbahan/Stesen Pam (GBK 281) miliki IWK di Taman Industri Nautical Rawang, Selangor.

“Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini dapat dikesan awal dan tidak melibat sebarang pencemaran sumber air yang akan mengakibatkan henti tugas loji rawatan air,” menurut SPAN dalam satu kenyataan hari ini.

Suruhanjaya itu berkata pemeriksaan hari ini dilakukan SPAN bersama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lembaga Urus Air Selangor, Majlis Perbandaran Selayang dan IWK.

SPAN akan mengambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi ke atas mana-mana pihak disyaki melepaskan sebarang efluen terlarang ke dalam lurang pembetungan awam yang memberi impak kepada sistem rawatan kumbahan awam dan alam sekitar.

Perbuatan melepaskan atau membuang sebarang efluen terlarang ke dalam sistem pembetungan awam akan disiasat di bawah Seksyen 61(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

SPAN memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan kes-kes pencemaran kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN di talian 03–8317 9333 atau e-mel ke [email protected].

-BERNAMA


Pengarang :