Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 2 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM kenal pasti 14 kluster akibat rentas sempadan, aktiviti sosial

PUTRAJAYA, 4 JAN: Sebanyak 14 kluster Covid-19 telah dikenal pasti membabitkan rentas sempadan negeri dan daerah serta terlibat dengan aktiviti sosial sejak 7 Disember tahun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata lima daripada kluster jangkitan itu membabitkan aktiviti rentas sempadan negeri dan daerah manakala sembilan lagi dikesan susulan aktiviti sosial.

“Tiga daripada kluster membabitkan rentas sempadan negeri dan daerah dikesan di Pahang iaitu Intan, Semambu dan Tembok Mempaga, satu di Kelantan (Seragam Chepa) dan satu lagi Ehsan Ibol di Perak.

“Sembilan kluster disebabkan aktiviti sosial adalah Gerbang Pongsu di Perak, Lintas Seraya (Sabah), Sungai Redan (Johor), Maringkan (Sabah), Cassia Diamond (Pulau Pinang dan Selangor), Paginatan (Sabah), Sungai Burong (Selangor dan Negeri Sembilan), Kupi-Kupi (Sabah) dan Bandar Impian (Johor, Kelantan dan Perak,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM telah mengesan peningkatan kes Covid-19 di tempat kerja pada gelombang ketiga pandemik itu.

“Pada awalnya, jangkitan di tempat kerja membabitkan pekerja asing di tapak pembinaan dan kilang tetapi kini kami melihat lebih banyak pekerja tempatan juga dijangkiti.

“Ini agak membimbangkan dan kami berharap walaupun kelonggaran telah diberikan kepada orang awam, setiap daripada mereka perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :