Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 13 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM kesan 11 lagi kluster baharu Covid-19, dua di Selangor

SHAH ALAM, 13 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 11 lagi kluster baharu Covid-19, dua daripadanya di Selangor membabitkan tempat kerja.

Ketua pengarah kesihatan berkata kluster Taman Integrasi tercetus di Gombak manakala Kluster Jalan Ijuk di Petaling, Kuala Langat, Sepang, Klang dan Hulu Langat.

“Kes kluster Taman Integrasi dikesan positif pada 10 Januari hasil saringan bersasar melibatkan sebuah kilang di Taman Industri Integrasi Rawang.

“Sehingga hari ini, seramai 250 individu disaring dengan 119 positif,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Beliau berkata kes Kluster Jalan Ijuk pula didapati pada tarikh sama hasil saringan membabitkan 262 individu di sebuah kilang.

“Seramai 99 kes dikesan positif dalam kluster yang merujuk kepada lokaliti kilang di kawasan Perindustrian Hicom, Shah Alam,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 616 kluster dilaporkan setakat ini dengan 346 kluster tamat manakala 270 lagi adalah kluster aktif yang dipantau.

Berikut sembilan kluster lain dilaporkan:

1. Kluster Jalan Rami – kluster melibatkan Muar di Johor

2. Kluster Kota – kluster melibatkan Kota Tinggi di Johor

3. Kluster Tanjung Megah – kluster tempat kerja melibatkan Pontian, Johor

4. Kluster Jalan Kasturi – kluster tempat kerja melibatkan Lembah Pantai dan Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

5. Kluster Jalan Thamby – kluster tempat kerja melibatkan Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

6. Kluster Taman Batik – kluster tempat kerja melibatkan Kuala Muda dan Baling di Kedah

7. Kluster Bukit Bakar – kluster melibatkan Machang di Kelantan

8. Kluster Kampung Tengah – kluster melibatkan sebuah majlis perkahwinan di Seremban, Negeri Sembilan

9. Kluster Dialisis Malim – kluster melibatkan Melaka Tengah dan Alor Gajah di Melaka


Pengarang :