Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 9 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM timbang pesakit Covid-19 tahap satu, dua dikuarantin di rumah

PUTRAJAYA, 4 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mempertimbangkan untuk mengasing dan mengkuarantin pesakit Covid-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan di rumah memandangkan kemudahan kesihatan sedia ada semakin terhad susulan peningkatan kes harian yang tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat hari ini jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 22,089 kes yang menghampiri kapasiti maksimum KKM iaitu sebanyak 23,000 kes untuk ditempatkan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Bercakap pada sidang media perkembangan Covid-19 hari ini, Dr Noor Hisham berkata jumlah pesakit bagi kes tahap satu dan dua iaitu mereka yang positif tetapi tidak bergejala dan mempunyai gejala ringan telah mencecah 89 ke 90 peratus daripada keseluruhan kes.

“PKRC telahpun penuh jadi kita memberi keutamaan kepada kes-kes yang tidak ada tempat yang sesuai untuk kuarantin contohnya untuk pekerja asing yang ditempatkan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan kita juga sedang melihat kriteria-kriteria untuk melihat sama ada mengkuarantinkan kes yang positif tetapi tidak bergejala atau bergejala ringan di rumah,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kelewatan petugas kesihatan untuk mengambil para pesakit di rumah untuk dibawa ke hospital dan PKRC adalah disebabkan pertambahan kes harian yang tinggi.

Mengenai dakwaan pesakit di Hospital Sungai Buloh yang dibenarkan keluar tanpa melalui ujian saringan kedua Covid-19, beliau berkata tempoh kuarantin 10 hari sudah mencukupi memandangkan tahap kebolehjangkitan virus itu sudah berkurangan atau sudah tiada selepas tempoh itu.

“Berdasarkan data-data dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan kalau kita kuarantin untuk tempoh 10 hari, kita dah boleh benarkan pesakit discaj tanpa menjalankan ujian, dan jika dijalankan ujian ianya mungkin positif tetapi kebolehjangkitan sudah berkurang atau sudah tiada.

“Keputusan positif akan berlaku dalam tempoh dua ke tiga minggu atau ada yang sampai ke 70 hari tapi yang penting kebolehjangkitan, sama ada kita boleh kawal kebolehjangkitan. Jadi selepas 10 hari kebolehjangkitan amat kurang, jadi kita boleh benarkan pesakit pulang tanpa laksana ujian tersebut,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :