Petugas kesihatan melakukan saringan Covid-19 terhadap pekerja kilang warga asing kumpulan syarikat Kossan di Meru, Klang pada 9 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Klang kembali catat kes tertinggi Covid-19

SHAH ALAM, 4 JAN: Klang kembali menjadi daerah tertinggi mencatatkan jangkitan Covid-19 dengan 256 kes selepas melaporkan 914 kes pada 1 Januari lalu.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata pertambahan kes berpunca daripada saringan pekerja iaitu 155 kes di mukim Kapar manakala 101 di mukim Klang.

“Daerah Hulu Langat pula mencatatkan 141 kes apabila 67 dikesan berlaku di mukim Kajang, mukim Cheras (44), mukim Ampang dan mukim Semenyih masing-masing 13 serta mukim Hulu Langat (tiga).

“Daerah ketiga tertinggi kes wabak ialah daerah Kuala Langat iaitu 116 dengan 90 kes di mukim Telok Panglima Garang diikuti mukim Tanjung Dua Belas Satu (22), mukim Bandar (tiga) dan mukim Kelanang (satu),” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

JKNS berkata daerah Gombak pula mencatatkan 60 kes dengan 28 di mukim Batu, mukim Hulu Kelang (15), mukim Rawang dan mukim Setapak masing-masing tujuh serta mukim Kuang (tiga).

Menurutnya, daerah Sepang merekodkan 50 kes iaitu 48 di mukim Dengkil manakala bakinya di mukim Sepang, sementara daerah Petaling pula 38 kes dengan 17 di mukim Damansara, mukim Petaling (enam) dan  mukim Bukit Raja (lima).

“Manakala, tiga daerah lagi mencatat bawah angka 10 iaitu di Sabak Bernam enam kes diikuti Hulu Selangor (lima) dan Kuala Selangor (satu),” tambahnya.


Pengarang :