Selangorkini
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Komuniti niaga digesa patuhi SOP, elak aktiviti ekonomi ditutup

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) berkata komuniti perniagaan harus memandang serius terhadap laporan media mengenai mengenai kluster Covid-19 yang dikaitkan dengan kilang, tapak pembinaan dan kawasan tempat kerja lain.

“Apa yang penting, mereka (komuniti perniagaan) harus memainkan peranan mereka dengan melabur dalam bantuan sumber bagi melaksanakan tatacara operasi piawai (SOP) lebih ketat untuk mengelakkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya yang akan mengakibatkan aktiviti ekonomi ditutup,” kata Pengerusi EuroCham Malaysia, Oliver Roche.

Eurocham Malaysia yang ditugaskan sebagai pusat perhubungan utama bagi komuniti perniagaan Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia telah bekerja rapat dengan kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak awal pandemik yang pada tahun 2020 sehingga kini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Eurocham Malaysia merujuk kepada surat edaran dalamannya berhubung perbincangan tidak rasmi EuroCham Malaysia.

EuroCham Malaysia menjelaskan, ia dihantar kepada semua ahli bagi menyampaikan intipati tidak rasmi dan usaha kerajaan Malaysia untuk menangani Covid-19.

“Intipati perbincangan tidak rasmi itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bagaimana komuniti perniagaan dapat memainkan peranan penting dalam meratakan keluk Covid-19 dan kesan ekonomi jika kita semua tidak memainkan peranan aktif.

“Surat itu yang telah mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak itu berkali-kali menyatakan peranan semua pihak amat diperlukan untuk memutuskan rantaian pandemik,” katanya.

Eurocham Malaysia menjelaskan bahawa penekanan MITI adalah merujuk kepada peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang menuntut peranan semua bagaimanapun tidak disebut mengenai PKP sepenuhnya selepas 4 Februari, 2021.

“Sehubungan itu, kami berusaha supaya orang ramai kekal fokus, memainkan peranan bagi memastikan tidak berlaku PKP sepenuhnya sama seperti tahun lepas.

“Dalam masa yang mencabar ini, kami menghargai hubungan baik dengan kerajaan Malaysia, khususnya MITI dan kami berpendapat kerajaan telah melakukan yang terbaik dalam menangani pandemik itu sejak tahun 2020,” kata Roche.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Eurocham Malaysia, Sven Schneider sebelum ini mendedahkan bahawa sekiranya kes Covid-19 terus meningkat, kerajaan Malaysia dijangka akan mengumumkan penutupan aktiviti ekonomi selepas 4 Februari depan.

– BERNAMA


Pengarang :