Sebahagian penapis air tiruan yang dirampas KPDNHEP Selangor dalam serbuan di sebuah premis dekat Seri Kembangan pada 6 Januari 2021.
AGENSISELANGOR

KPDNHEP Selangor rampas 28 set penapis air tiruan

SHAH ALAM, 7 JAN: Pihak berkuasa merampas 28 set penapis air tiruan bernilai RM59,300 dalam serbuan di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan Selangor, semalam.

Operasi terhadap syarikat jualan langsung tersebut dilakukan lapan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor pada jam 11.30 pagi.

Pengarah KPDNHEP negeri berkata syarikat tersebut dipercayai menjual produk penapis air di Selangor dan Kuala Lumpur sejak dua tahun lepas.

“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan gagal mematuhi syarat lesen ditetapkan dan semua barangan disita untuk siasatan lanjut,” kata Muhamad Zikril Azan Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat dibawah seksyen 6 (1) Akta Jualan Langsung dan Anti Piramid 1993, sabit kesalahan denda maksimum RM500,000 bagi syarikat dan RM250,000 (individu) atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.


Pengarang :