Pelajar tingkatan lima Syazwin Nisa Saiful Hizam (kanan) bersama rakannya Nurul Huda Sukor tekun mendengar pembelajaran secara dalam talian bersama guru di kedai makan milik ayahnya bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika tinjauan pada 15 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPM disaran perluas akses TV Pendidikan melalui YouTube

SHAH ALAM, 25 JAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran meluaskan capaian program TV Pendidikan secara percuma menerusi YouTube, kata Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik.

Mohd Najwan Halimi berkata langkah mempelbagaikan akses program pendidikan akan memperkasa kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sedang dilaksanakan.

“Program TV Pendidikan membantu murid khususnya mereka yang tidak memiliki kelengkapan telefon bimbit dan komputer atau yang menetap di kawasan tiada capaian internet.

“Sudah tiba masanya KPM bertindak lebih proaktif merencana kaedah PdPR untuk murid peringkat rendah dan menengah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi kenyataan semalam.

Mohd Najwan berkata sebagai seorang bapa, beliau seperti ibu bapa lain menaruh harapan tinggi keupayaan PdPR untuk mengangkat mutu pendidikan serta membentuk keyakinan diri murid menerusi segenap aspek.

Kelmarin, menteri pendidikan berkata pihaknya berusaha memperkasa TV Pendidikan yang bersiaran sembilan jam sehari menerusi beberapa stesen televisyen.

Dr Radzi Jidin berkata setakat ini saluran yang menyiarkan program tersebut adalah TV Okey, Astro Tutor TV dan NTV7.

KPM mewujudkan kembali TV Pendidikan pada 6 April tahun lepas sejurus pelaksanaan PKP pertama pada 18 Mac tahun sama.


Pengarang :