AGENDANASIONALPELANCONGAN

Langkah proaktif diperlukan selamatkan industri pelancongan – Matta

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan untuk proaktif dan merangka pelan menyelamat bersasar dan dipertingkat bagi ejen pelancongan dan pengembaraan susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) dan unjuran suram industri pelancongan tahun ini.

Presiden Matta Datuk Tan Kok Liang berkata perniagaan pelancongan ketika ini berada dalam keadaan tertekan akibat persekitaran perniagaan sangat rapuh dan tidak menentu yang dijangkakan berterusan sehingga lewat 2021.

“Ejen pelancongan dan pengembaraan bergelut dengan penurunan pendapatan dan masalah mudah tunai sejak bermulanya pandemik Covid-19 dan usaha kerajaan tidak membawa sebarang impak ketara pada segmen industri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tan berkata ejen pelancongan dan pengembaraan penting kepada ekonomi Malaysia memandangkan majoriti daripada perniagaan ini memberi sumbangan besar kepada kemasukan pengembara ke Malaysia untuk melancong atau urusan perniagaan.

Katanya banyak agensi menyediakan perkhidmatan logistik penting serta mengekalkan bas-bas mereka serta kenderaan pelancongan lain yang penting bagi infrastruktur pelancongan negara ini.

“Pelancongan memainkan peranan penting dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan merupakan penyumbang ketiga terbesar pada tahun-tahun sebelumnya,” kata Tan.

Matta turut menggesa perniagaan pelancongan untuk bersatu dan bergabung. Menurut Tan, lebih 5,000 syarikat pelancongan ketika ini berada dalam keadaan yang sangat getir dan kerajaan perlu memulakan program pemulihan kerana keadaan akan bertambah buruk.

Katanya, membenarkan ejen pelancongan menutup premis perniagaan dan beroperasi dari rumah dan pembatalan program mandatori Kursus Peningkatan Pelancongan dan Pengembaraan (TTEC) bagi syarikat pelancongan adalah sokongan yang baik kepada mereka.

Tan berkata ia kini bukan lagi ‘perniagaan berjalan seperti biasa’ akibat pandemik Covid-19 dan Mattta menggesa pelbagai agensi kerajaan membuat perubahan dasar dengan segera bagi mengurangkan beban kewangan industri yang paling terjejas teruk di Malaysia itu.

– BERNAMA


Pengarang :