Selangorkini
Sebuah pesawat penumpang Boeing 777 membuat pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto AFP
AGENDA NASIONAL

Lapan jemaah tabligh Malaysia kembali ke tanah air dari India

PUTRAJAYA, 13 JAN: Lapan jemaah tabligh rakyat Malaysia kembali ke tanah air dari New Delhi, India hari ini selepas Mahkamah Tinggi Patna, Bihar membatalkan pertuduhan menyalah guna pas lawatan sosial terhadap mereka.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan memaklumkan mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3.58 petang ini.

Beliau berkata kepulangan mereka menyaksikan hanya terdapat seorang lagi jemaah tabligh rakyat Malaysia yang masih menunggu keputusan mahkamah berhubung kesnya di Kishanganj, India.

“Kementerian Luar, menerusi Perwakilan Malaysia di New Delhi, India akan terus memantau perkembangan kes ini secara rapat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaras usaha membawa pulang ahli jemaah tabligh tersebut selepas pembebasan beliau kelak,” katanya.

Kamarudin, yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar, berkata selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa, kesemua jemaah tabligh yang dibawa pulang ke tanah air akan menjalani kuarantin selama 10 hari di stesen kuarantin yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Kamarudin juga berkata Kementerian Luar telah berjaya membawa pulang 188 daripada 189 ahli jemaah tabligh yang berada di India.

Beliau berkata sebelum ini, 180 ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) pada tahun lepas.

Kementerian Luar turut merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat terutama Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kementerian Kesihatan atas kerjasama serta komitmen berterusan dalam menjayakan misi membawa pulang ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia di India.

“Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan India yang terus membantu urusan kepulangan mereka,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :