SEREMBAN, 1 Julai — Gelagat Murid Tabika Perpaduan Kampung Baru Rasah Umayr Falique Mohd Fuzaimi Irwan semasa melalui proses pembelajaran dalam norma baharu dengan memakai pelitup muka dan menjarakkan diri antara murid lain ketika tinjauan pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan tadika hari ini. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan hari ini sebagai tarikh pembukaan semula semua sekolah prasekolah, tadika dan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) di bawah kerajaan mahupun swasta selepas tiga bulan ditutup sejak 18 Mac berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDANASIONAL

Lebih 1,700 Tabika Perpaduan laksana pembelajaran dalam talian

PUTRAJAYA, 21 JAN: Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan di 1,781 Tabika Perpaduan (TP) melibatkan 35,984 pelajar berikutan arahan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) untuk menangguhkan operasi pembukaan bersemuka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata PdPR dilaksanakan dengan lancar di seluruh TP melalui kaedah dalam talian atau luar talian.

Daripada 1,781 TP, sebanyak 1,067 tabika atau 60 peratus menggunakan PdPR secara luar talian iaitu bahan pengajaran dihantar melalui Google Classroom, WhatsApp, Telegram, e-mel dan platform yang sesuai.

Manakala sebanyak 658 tabika atau 37 peratus TP mengikuti pembelajaran secara dalam talian iaitu secara langsung menerusi aplikasi Zoom, Google Meet, Webex dan seumpamanya, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Halimah berkata hanya tiga peratus yang mewakili 56 buah tabika mengikuti pembelajaran secara pendekatan luar talian iaitu murid diberi tugasan berkaitan dengan lebih awal secara manual.

Beliau berkata kaedah secara luar talian digunakan apabila terdapat kekangan capaian internet dan ketidakhadiran ibu bapa bersama semasa sesi pembelajaran berlangsung.

“Inisiatif dan kreativiti tenaga pengajar kelas TP dalam pelaksanaan PdPR ini akan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa melalui latihan dan sokongan peralatan bagi memanfaatkan kemajuan teknologi dan memastikan pembelajaran murid berjalan lancar,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :