Pelajar tingkatan lima Syazwin Nisa Saiful Hizam (kanan) bersama rakannya Nurul Huda Sukor tekun mendengar pembelajaran secara dalam talian bersama guru di kedai makan milik ayahnya bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika tinjauan pada 15 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Lebih 3,000 pelajar daftar portal eptrs.my sejak 8 Januari

SHAH ALAM, 20 JAN: Seramai 3,755 pelajar mendaftar untuk menggunakan portal pendidikan Selangor eptrs.my sehingga semalam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lebih membanggakan, portal yang dibangunkan dengan dana RM300,000 turut mendapat sambutan pelajar luar Selangor.

“Portal ini bukan sahaja terhad kepada kelas tuisyen malah mengandungi program sokongan lain seperti kemahiran belajar dan Program Pecutan Akhir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dilaksanakan setiap tahun,” katanya ketika membentangkan Pakej Kita Selangor hari ini.

Dibangunkan pada 8 Januari lalu, Amirudin berkata mata pelajaran ditawarkan ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM.

Sementara Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris (Muet) disediadakan untuk calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

Jelasya, kandungan pembelajaran PTRS.my berbentuk video dan pelajar boleh bersoal jawab dengan guru yang membuat perkongsian secara interaktif.

“Platform ini juga menampilkan pembelajaran dalam talian yang dipakejkan bersama guru bimbing,” kata Amirudin lagi.

Inisiatif itu hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor.


Pengarang :