Grafik Twitter Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 4,000 pelajar daftar, belasan ribu tonton portal tuisyen percuma

SHAH ALAM, 24 JAN: Seramai 4,450 pelajar tingkatan lima dan enam mendaftar portal pendidikan Selangor eptrs.my setakat semalam, sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 3,560 pelajar Selangor menikmati inisiatif percuma yang dilancarkan pada 16 Januari lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) merekodkan jumlah pendaftaran harian 102 orang, dengan purata 58 pelajar dari negeri ini.

“Dengan jumlah tontonan tanpa daftar sebanyak 13,000, Kerajaan Negeri yakin portal ini bakal membantu murid dan tenaga pengajar melengkapkan diri untuk peperiksaan. Layari http://eptrs.my untuk mendaftar,” tulisnya di Twitter.

Portal tersebut antara inisiatif dalam Pakej Kita Selangor yang dibentang pada 20 Januari, bagi membantu calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Platform itu memuatkan pembelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sains, matematik dan sejarah untuk SPM, manakala pengajian am dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet) untuk STPM.

Pada Mac tahun lepas, Kerajaan Negeri melaksana program e-pembelajaran, Selangor Tutor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang mendapat sambutan menggalakkan.

Kementerian Pendidikan Malaysia menunda tarikh peperiksaan SPM dan STPM bagi sesi 2020 kepada 22 Febuari dan 8 Mac tahun ini. Turut ditunda Sijil Vokasional Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia.

 


Pengarang :