AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 4,000 pemandu teksi bakal terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 25 JAN: Lebih 4,000 pemandu teksi di Selangor yang mengalami kemerosotan pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka mendapat manfaat bakul makanan melalui Pakej Kita Selangor.

Yang dipertua Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) berkata bantuan itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membela nasib golongan yang dihimpit kesusahan ekoran pandemik Covid-19.

“Kita bersyukur dan berterima kasih kepada pimpinan Kerajaan Selangor kerana simpati terhadap pemandu teksi yang sememangnya amat mengharapkan sumbangan seperti ini disalurkan.

“Industri teksi antara yang terjejas teruk sejak perintah itu dilaksanakan kerana perkhidmatan ini bergantung pada sektor pelancongan tetapi malangnya aktiviti tersebut tidak dibenarkan,” kata Kamarudin Mohd Hussain kepada SelangorKini hari ini.

Pada 20 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM1.3 juta untuk pelaksanaan bantuan Bakul Makanan kepada penduduk Selangor yang terjejas susulan pandemik.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika memaklumkan sumbangan diagih kepada pemandu teksi, bas sekolah, penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan pemandu lori KDEB Waste Management (KDEBWM).

Sementara itu, Kamarudin turut meminta Kerajaan Negeri mempertimbang permohonan bantuan wang tunai secara terus (one-off) yang dikemukakan pada April tahun lalu.

Menurutnya inisiatif tersebut mampu memberi kelegaan berikutan kebanyakan pemandu teksi ketiadaan sumber pendapatan selain melakukan pekerjaan tersebut.

“Jadi, kita mengharapkan ada sesuatu seperti di beberapa negeri lain dan percaya Kerajaan Selangor akan terus melihat kebajikan kami,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan jumlah pemandu teksi di Selangor yang terpaksa meninggalkan kerjaya dalam perkhidmatan itu mencecah 14,000 orang sejak pandemik melanda negara selain dimonopoli sektor e-panggilan.


Pengarang :