AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 70 peratus kawasan dapat semula bekalan air

SHAH ALAM, 9 JAN: Kawasan yang terjejas bekalan air akibat paip pecah di Jalan Sering, Taman Sungai Sering, Cheras semalam pulih 78 peratus tengah hari ini.

Tiga wilayah terkesan iaitu Hulu Langat pulih 95 peratus, Petaling dapat bekalan hingga 80 peratus sementara Kuala Lumpur sebanyak 59 peratus.

“Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) sedang berusaha menstabilkan sistem agihan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan segera terutama dalam situasi pandemik Covid-19,” kata agensi itu.

“Pemulihan bekalan air di semua kawasan terjejas adalah secara berperingkat-peringkat bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.”

Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri menjangka bekalan air semua kawasan terjejas pulih sepenuhnya pada jam 6 petang ini.

Air Selangor menambah bantuan bekalan alternatif melalui lori tangki sedang giat digerakkan kepada pengguna yang masih terkesan.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Sebanyak 121 kawasan Hulu Langat, Petaling dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pemasangan paip pembentungan oleh pihak ketiga pada 2 Januari lalu.

Senarai kawasan yang menerima air berperingkat-peringkat selepas bekalan distabilkan dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.


Pengarang :