Orang ramai menjalani Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih separuh kes Covid-19 Selangor dicatat di daerah Klang

SHAH ALAM, 14 JAN: Lebih separuh atau 652 kes daripada keseluruhan jangkitan baharu Covid-19 di Selangor hari ini dicatatkan di daerah Klang.

Perkembangan itu menjadikan daerah terbabit kekal merekodkan angka harian tertinggi di Selangor untuk tempoh lima hari berturut-turut.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan sebanyak 388 kes dikesan di mukim Kapar manakala 264 kes lagi di mukim Klang, majoriti hasil saringan pekerja dan kontak rapat.

Daerah Hulu Langat pada kedudukan kedua merekodkan 132 kes iaitu 64 kes di mukim Kajang, mukim Ampang (26), mukim Cheras (25), mukim Semenyih (12), mukim Hulu Langat (tiga) dan mukim Beranang (dua).

“Sebanyak 74 kes di daerah Gombak meliputi 30 kes di mukim Rawang, mukim Batu (26), mukim Hulu Kelang (14) dan mukim Kuang (empat).

“Daerah Petaling mencatat 73 kes iaitu 30 kes di mukim Sungai Buloh, mukim Damansara (29), mukim Petaling (10) dan mukimBukit Raja (empat),” menurut JKNS melalui perkongsian data di Facebook.

Jabatan itu memaklumkan daerah Sepang mengumpul 39 kes dengan 30 daripadanya dikenal pasti di mukim Dengkil, mukim Labu (lima) dan mukim Sepang (empat).

Katanya, 18 daripada 34 kes positif di daerah Kuala Selangor membabitkan mukim Ijok, mukim Kuala Selangor (enam), mukim Jeram (lima) manakala mukim Api-Api dan mukim Bestari Jaya masing-masing dua kes serta mukim Tanjung Karang (satu).

“Daerah Kuala Langat pula mencatat 25 kes iaitu 10 kes di mukim Tanjung Dua Belas (I), mukim Telok Panglima Garang (tujuh), mukim Tanjung Dua Belas (II) (lima), mukim Bandar (dua) dan mukim Morib (satu).

“Sebanyak tiga kes di daerah Sabak Bernam meliputi dua di mukim Panchang Bedena dan mukim Sabak (satu) sementara dua kes di daerah Hulu Selangor membabitkan mukim Serendah,” katanya.


Pengarang :