Sumber Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Lebihan dagangan Malaysia naik 26.9 peratus kepada RM184.8 bilion

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Lebihan dagangan Malaysia meningkat sebanyak 26.9 peratus kepada RM184.8 bilion iaitu tertinggi pernah dicatatkan setakat ini manakala jumlah dagangan pada 2020 mencecah RM1.8 trilion, susut 3.6 peratus tahun ke tahun, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata seiring dengan kelemahan permintaan global dan keadaan ekonomi luaran yang tidak memberansangkan akibat Covid-19, jumlah eksport negara ini pada 2020 telah susut 1.4 peratus kepada RM981.0 bilion berbanding tahun sebelumnya dan import berkurangan 6.3 peratus atau RM53.2 bilion kepada RM796.2 bilion.

Menurutnya, Disember 2020 mencatat nilai eksport bulanan tertinggi sebanyak RM95.7 bilion – peningkatan 10.8 peratus berbanding bulan sama pada 2019 yang melebihi pertumbuhan import bagi tempoh lapan bulan berturut-turut.

“Setelah penurunan selama sembilan bulan berturut-turut, import kembali meningkat dengan mencatat pertumbuhan 1.6 peratus kepada RM75.0 bilion. Eksport Malaysia meneruskan momentum positif pada Disember 2020 dan peningkatan eksport itu disokong oleh eksport semula dan eksport domestik.

“Eksport semula misalnya berjumlah RM17.6 bilion iaitu menyumbang sebanyak 18.4 peratus kepada jumlah eksport yang merupakan peningkatan sebanyak 22.9 peratus manakala eksport domestik bernilai RM78.1 bilion iaitu meningkat 8.3 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam kenyataan media Laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negara bagi Disember 2020 pada Jumaat.

Menurut Mohd Uzir, lebihan dagangan meningkat sebanyak 64.9 peratus kepada RM20.7 bilion tahun ke tahun.

Beliau berkata, peningkatan eksport didorong oleh pertambahan eksport ke Singapura (+RM2.2 bilion), China (+RM1.9 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.7 bilion), India (+RM1.62 bilion), Hong Kong (+RM1.60 bilion) dan Kesatuan Eropah (+RM988.1 juta).

Selain itu, kenaikan import pula terutamanya dari China (+RM2.1 bilion), India (+RM772.9 juta), Hong Kong (+RM518.7 juta) dan Taiwan (+RM466.0 juta).

Menurutnya, produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM5.6 bilion); keluaran getah (+RM3.0 bilion) dan minyak kelapa sawit serta keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (+RM2.6 bilion).

“Peningkatan import pula bagi produk elektrik dan elektronik (+RM2.7 bilion) serta kimia dan bahan kimia (+RM734.7 juta),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :