Sebahagian dari 300 pekerja Top Glove yang dibawa keluar oleh petugas kesihatan berikutan penularan wabak Covid-19 di Asrama Pekerja Top Glove Meru Klang pada 23 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lewat lapor kes punca jangkitan catat lebih 5,000 sehari

SHAH ALAM, 31 JAN: Peningkatan mendadak kes Covid-19 melebihi 5,000 sejak tiga hari lalu disebabkan kelewatan kes dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) termasuk jangkitan tahun lalu.

Ketua pengarah kesihatan bagaimanapun berkata Pejabat Kesihatan Daerah sudah mengambil tindakan wajar seperti pengasingan dan rawatan, pengesanan kontak rapat serta pengesanan kes secara aktif.

“Peningkatan jumlah jangkitan ini turut berpunca hasil saringan bersasar di tempat kerja, kontak rapat dan kumpulan berisiko tinggi yang dijalankan di beberapa negeri.

“Terdapat juga klinik dan hospital swasta yang lambat membuat laporan menggunakan Sistem Makmal Kesihatan Awam (Simka),” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan semua pihak supaya isu kelewatan laporan dapat ditangani dengan segera bagi membendung penularan pandemik.

Jangkitan Covid-19 kekal melebihi 5,000 kes tiga hari berturut-turut apabila merekodkan 5,298 kes hari ini. Semalam, Malaysia merekodkan 5,728 kes dan 5,725 pada Jumaat.


Pengarang :