Sumber Grafik: MFL
AGENDASUKANKINI

Liga Malaysia ditunda, sepak mula 5 Mac

SHAH ALAM, 26 JAN: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menunda tarikh sepak mula Liga Malaysia bagi musim 2021 pada 5 Mac susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) sehingga 4 Februari.

Ketua pegawai eksekutif berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL secara dalam talian serta turut mengambil pandangan dan persetujuan daripada wakil-wakil pasukan semalam.

Menurutnya, MFL bersedia menyediakan beberapa mekanisme seperti tatacara operasi piawai (SOP) latihan yang lebih ketat termasuk di kem latihan berpusat secara kuarantin bagi memastikan Liga Malaysia berjalan lebih efektif, selamat serta menghindari segala prospek pandemik Covid-19.

“Selain permintaan rakan kongsi liga yang mahukan persiapan sekurang-kurang tiga minggu sebelum sepak mula Liga Malaysia 2021, MFL juga mengambil faktor pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) melibatkan JDT serta pertandingan Piala AFC yang menyaksikan dua wakil negara, Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC dalam kejohanan ini menyebabkan keputusan pindaan tarikh Liga Malaysia 2021 itu dicapai secara bersama.

“MFL bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) berkenaan penyediaan SOP latihan dan MFL akan sekali lagi membentangkan cadangan ini kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan Liga Malaysia musim 2021 berjalan bebas daripada sebarang gelaja Covid-19,” kata Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan hanya Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Piala Cabaran diteruskan musim ini sementara Piala FA tiada dalam perancangan.

Mengikut perancangan awal, Liga Malaysia bakal membuka tirai dengan perlawanan sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 26 Februari ini.

 


Pengarang :