Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berkenan menyantuni pemandu lori yang terkandas susulan banjir di Plaza Tol Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada 5 Januari 2021. Foto Facebook Istana Negara
AGENDANASIONAL

Lima negeri termasuk Selangor semakin pulih, Agong berkenan ziarah mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Keadaan banjir yang melanda Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Johor, beransur pulih dengan jumlah mangsa dipindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), semakin berkurangan.

Bagaimanapun di Pahang, jumlah mangsa banjir di negeri itu merekodkan sedikit peningkatan dengan 18,217 orang malam ini, berbanding 17,747 orang petang tadi.

Hujan lebat sejak Sabtu lepas yang mengakibatkan banjir di beberapa negeri, turut menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, apabila baginda berkenan memandu sendiri kenderaan meredah banjir di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) untuk melawat mangsa banjir di sekitar daerah Maran, Pahang hari ini.

Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Baginda berdua turut berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir di pusat permindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Maran 1.

Bertitah selepas mendengar sembah taklimat situasi banjir di daerah itu, Al-Sultan Abdullah menasihati semua mangsa di pusat pemindahan banjir agar sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) mengekang penularan Covid-19 bagi mengelakkan wabak tersebut merebak di pusat pemindahan.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menguruskan bencana alam itu.

Selain itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meluangkan masa kira-kira sejam melawat mangsa banjir di dua pusat pemindahan di Kota Tinggi, Johor hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir turut berkesempatan bertanya mengenai kebajikan kira-kira 126 mangsa daripada 28 keluarga yang ditempatkan di Kolej Vokasional Kota Tinggi.

Beliau kemudian turut meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat mangsa banjir yang ditempatkan pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Laksamana.

Sementara itu, keadaan banjir di Perak, Selangor, Terengganu dan Kelantan, bertambah baik sejak petang tadi manakala di Johor, situasi banjir semakin pulih setakat 8 malam tadi apabila paras air di beberapa kawasan, mulai surut.

– BERNAMA


Pengarang :