Orang awam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka sebelum memasuki kedai ketika tinjauan di Jalan Besar, Klang pada 10 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lima sektor ekonomi perlu boleh beroperasi sepanjang PKP

SHAH ALAM, 11 JAN: Hanya lima sektor ekonomi perlu dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa mulai 13 Januari.

Perdana menteri berkata ia meliputi pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan sektor tersebut dibolehkan kerana peranannya menyokong kerja membekal keperluan asas bagi memastikan rantaiannya tidak terputus.

“Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja sokongan, jumlahnya akan ditentukan oleh majikan,” katanya dalam perutusan hari ini.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap majikan yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) dan menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja.

Muhyiddin memaklumkan sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai perlu perlu bekerja dari rumah bagi mengurangkan pergerakan dalam komuniti.

“Hanya dengan langkah ini kita dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di tempat kerja,” tegas beliau lagi.


Pengarang :