Pengunjung mendapatkan barangan basah dan kering segar dari ladang melalui program Lori Selangor Agro Market anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Medan Selera Seksyen 7, Shah Alam pada 15 Januari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lori Selangor dapat sambutan, PKPS peroleh hampir RM8,000

SHAH ALAM, 27 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mencatat jualan mencecah RM8,000 menerusi program Lori Selangor Agro Market setakat ini.

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata perolehan itu melibatkan jualan sayur, buah-buahan, ikan dan ayam di Medan Selera Seksyen 7, Shah Alam pada 15 Januari serta Pandan Indah, Ampang (24 Januari).

“Perkhidmatan berkonsepkan kendera saji menerima sambutan menggalakkan berikutan barang basah dan kering ditawarkan segar dari ladang.

“Dalam tempoh tiga hingga empat jam kita mampu meraih pulangan lebih RM3,000,” kata Datuk Abdul Ghariff Ramin ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau menambah program lori prihatin diperkenal bagi memudahkan orang ramai memperoleh makanan segar dengan harga berpatutan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kita sedar dalam tempoh ini pergerakan agak terhad, jadi perkhidmatan tersebut memberi kemudahan kerana pelbagai barangan segar dibawa terus ke kawasan perumahan atau taman berhampiran,” katanya.

Kenderaan itu akan berada di lokasi terpilih semua daerah mengikut jadual bermula jam 8 pagi hingga 1 petang.


Pengarang :