LRA Sungai Selisek terpaksa dihenti tugas ekoran air naik ke paras krtikal. Foto Air Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LRA Sungai Selisek dihenti tugas, air naik ke paras kritikal

SHAH ALAM, 3 JAN: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek terpaksa dihenti tugas jam 5.40 petang tadi ekoran kenaikan air ke paras kritikal di muka sauk disebabkan hujan yang berterusan, hari ini.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan susulan kejadian itu sebanyak lapan kawasan di Hulu Selangor dijangka alami gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Antara yang terlibat adalah Kampung Sungai Nilam, Kampung Seri Pagi, Kampung Lalang, Rumah Murah PKT 2 Sungai Selisek, Kampung Serigala, Kampung Orang Asli, Kampung Bahom, Kampung Sekolah, Kuarters Klinik dan Kampung Gesir Tengah.

“Operasi LRA Sungai Selisek masih belum pasti kerana hujan belum berhenti dan paras air masih lagi pada paras kritikal,” kata Elina Baseri dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Air Selangor juga perlu memastikan semua peralatan LRA berada dalam keadaan baik dan boleh dibuka semula tanpa membahayakan keselamatan kakitangan terutama melibatkan arus elektrik.

Maklumat lanjut berkaitan status terkini akan dimaklum menerusi laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.

Pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

 


Pengarang :