Majlis Konvokesyen Unisel ke-13 pada 27 Oktober 2018. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lupus pinjaman Yayasan Selangor ringankan beban lebih 700 peminjam

SHAH ALAM, 26 JAN: Pelupusan baki pinjaman pelajaran Yayasan Selangor mampu meringankan beban 762 peminjam yang terjejas susulan penularan Covid-19.

Agensi berkata Kerajaan Negeri bertindak sedemikian selepas menyedari keadaan semasa pendapatan golongan terbabit ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kumpulan peminjam yang terima manfaat ini adalah sebahagian daripada graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT) bawah Kerajaan Negeri dan lain-lain IPT awam atau swasta tajaan Yayasan Selangor di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

“Semua peminjam diminta hubungi kami untuk menyemak status pinjaman masing-masing. Bagaimanapun, mereka yang mampu diminta meneruskan bayaran balik mengikut jadual,” katanya dalam kenyataan.

Yayasan itu menjelaskan pelupusan dibuat selari dengan peruntukan yang termaktub dalam Dasar Pinjaman Pelajaran Yayasan Selangor yang sedang berkuat kuasa.

“Pelupusan ini tidak melibatkan sebarang peruntukan dari Kerajaan Negeri kerana yayasan ini beroperasi tanpa mendapat sebarang geran atau dana dari mana-mana pihak.

“Yayasan Selangor adalah sebuah syarikat berhad yang menjana dana sendiri melalui sumber yang dibenarkan dan memberi bantuan serta perkhidmatan pendidikan kepada rakyat negeri ini,” jelasnya.

Mereka yang ingin mengetahui status atau maklumat lanjut mengenai pinjaman masing-masing boleh hubungi Bahagian Pembiayaan Pendidikan melalui e-mel [email protected] atau hubungi 03-7669 1100 sambungan 115/125/145/162/212/238.

Pada 20 Januari lalu, Kerajaan Negeri melalui Pakej Kita Selangor melupuskan pinjaman (write-off) kepada 762 peminjam Yayasan Selangor dengan implikasi kewangan berjumlah RM7.177 juta.


Pengarang :