Hamidah Ahmed, 61, berkerusi roda dalam rumah usang di Kampung Baru Bagan Tengkorak, Tanjong Karang. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

LZS tanggung sewa rumah pasangan warga emas

SHAH ALAM, 30 JAN: Sepasang warga emas yang menghuni rumah usang sejak beberapa tahun lalu terharu apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan kediaman baharu buat mereka.

Mohamad Yusof Sedik, 69, yang menetap di Kampung Baru Bagan Tengkorak, Tanjong Karang juga dimaklumkan sewa rumah berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh agensi itu.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada LZS atas bantuan diberikan. Saya difahamkan, kadar sewa setiap bulan RM350.

“Insya-Allah, kami berdua akan berpindah ke rumah baharu yang terletak tidak jauh daripada tempat tinggal sekarang pada Mac ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Menurut Mohamad Yusof, selama ini keadaan tempat tinggal mereka tidak terurus gara-gara monyet sering menceroboh dan menyelongkar rumahnya sehingga bumbung rosak serta berlubang.

Katanya, keadaan menjadi lebih buruk apabila isterinya, Hamidah Ahmed, 61, tidak dapat menguruskan rumah selepas kaki kirinya dipotong akibat kencing manis.

“Saya pula ke pasar setiap hari untuk berniaga ikan dan sayur-sayuran bagi menampung kehidupan dengan gaji harian sebanyak RM30,” katanya.

Sementara itu, LZS dalam kenyataan di Facebook memaklumkan pasangan terbabit berjaya didaftarkan sebagai asnaf miskin pada 26 Januari lalu.

Agensi berkata, pihaknya juga akan menyalurkan keperluan perubatan asas kepada Hamidah bagi meringankan beban ditanggung.

“Terima kasih pembayar zakat di Selangor kerana wang zakat anda dapat kami santuni mustahiq yang memerlukan. Sedikit bagi anda, segalanya buat mereka,” katanya.


Pengarang :