Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof melakukan gimik pelepasan konvoi misi bantuan banjir ke Pahang di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 15 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais bantu 200 keluarga mangsa banjir Temerloh

SHAH ALAM, 15 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang 200 pek makanan kering kepada mangsa banjir di Kampung Baduk dan Kampung Teluk Sentang, Temerloh, Pahang.

Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berkata pek makanan kepada 200 keluarga itu mengandungi beras, tepung gandum, susu pekat, air mineral, biskut dan garam dihantar melalui konvoi misi bantuan.

“Mangsa banjir turut menerima selimut dan set penjagaan diri seperti berus dan ubat gigi, sabun mandi, kain pelikat serta kain batik,” kata Nur Mohd Razali Abdullah hari ini.

Terdahulu, konvoi disertai kakitangan Mais, Lembaga Zakat Selangor, Perbadanan Wakaf Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Bakti Suci Holdings Sdn Bhd dan Teraju Ekonomi Asnaf Selangor itu disempurnakan Pengerusi Mais, Tan Sei Abdul Aziz Mohd Yusof serta Pengerusi Yide, Datuk Bakhtiar Hussin.

Nur Mohd Razali berkata, pihaknya prihatin dengan musibah yang melanda rakyat Pahang dan bantuan diberi bagi meringankan beban mangsa banjir selain menganggap solidariti kemanusiaan buat rakyat negeri itu.

“Perkembangan banjir kali ini direkodkan paling luas di Pahang dengan kebanyakan sungai juga melepasi paras bahaya serta selain beberapa jalan utama terputus disebabkan tanah runtuh,” katanya.


Pengarang :