Kementerian Kesihatan menyediakan sebuah lagi pusat kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) pada 18 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Majikan perlu sedia pusat kuarantin pekerja asing positif Covid-19

PUTRAJAYA, 8 JAN: Majikan perlu menyediakan pusat kuarantin untuk mengasingkan pekerja asing mereka yang disahkan positif Covid-19, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata kos perbelanjaan perubatan serta penyaraan pekerja asing semasa tempoh pengasingan tersebut turut dibiayai oleh majikan masing-masing.

Majikan juga digesa melaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dengan segera sekiranya ada dalam kalangan pekerja asing mereka, positif Covid-19 selepas saringan dilakukan, katanya.

“Majikan perlu bertindak lebih proaktif dalam membendung penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan pekerja asing yang mereka gajikan. Ini susulan peningkatan kes positif Covid-19 yang telah mencecah lebih 125,000 kes,” katanya.

Saravanan berkata majikan juga perlu melakukan ujian saringan Covid-19 untuk pekerja asing selaras dengan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No.9) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2021.

“Ini bagi membolehkan pengesanan awal pekerja asing yang positif Covid-19 dan seterusnya membendung penularan pandemik tersebut kepada rakan sekerja mereka yang lain,” kata Saravanan.

– BERNAMA


Pengarang :