Kakitangan daripada Jabatan Kesihatan Kota Belud memantau kebersihan dan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di pusat penempatan banjir Tun Said Kota Belud di sini pada 18 Januari 2021 bagi mengelak penularan Covid-19 di kawasan itu. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Sabah meningkat, dua negeri beransur pulih

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Jumlah mangsa banjir di Sabah masih menunjukkan trend meningkat manakala di Pahang dan Sarawak keadaan makin pulih apabila jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan petang ini.

Di Sabah, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata jumlah mangsa bertambah kepada 716 orang berbanding 673 pagi tadi dengan semua ditempatkan di 17 PPS di negeri itu.

Tenom dan Papar menjadi daerah terbaharu melibatkan pemindahan mangsa iaitu masing-masing 25 dan 19 orang, manakala tujuh daerah lain yang masih dilanda banjir ialah Kota Belud membabitkan 210 mangsa, Tuaran (115), Kota Kinabalu (101), Paitan (69), Beaufort (78), Penampang (76) dan Putatan (23).

Di Sarawak pula, hanya PPS Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh di daerah Serian yang masih beroperasi dengan menempatkan 325 mangsa.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), empat PPS di daerah tersebut yang beroperasi sebelum ini, iaitu Dewan Kampung Rimba Padi, Dewan Kampung Slabi Entukuh, Dewan Balek Bun Janjun dan Dewan Masyarakat Serian ditutup hari ini.

Di Pahang, hanya 1,211 mangsa masih berada di 16 PPS di daerah Pekan, Maran dan Kuantan.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jumlah mangsa di Pekan yang sebelum ini mencecah ribuan orang, menyusut kepada 809 mangsa petang ini, diikuti Kuantan 380 dan Maran 22 mangsa.

Portal infobanjir.water.gov.my pula melaporkan paras Sungai Jelai di Lipis, masih direkodkan melebihi paras berbahaya manakala paras Sungai Pahang di Serambi, Pekan pada paras amaran.

– BERNAMA


Pengarang :