Iman Osman, 27, penduduk Kampung Semangat pada 17 Januari 2021 hanya mampu melihat peti aisnya yang sudah rosak dihanyutkan air banjir setelah kampungnya ditenggelami air sejak lebih seminggu lalu. Tinjauan mendapati keadaan banjir di kampung itu beransur surut berikutan cuaca cerah sejak beberapa hari lalu. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir Sabah naik, keadaan di Pahang, Sarawak semakin pulih

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Sabah masih mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir, manakala keadaan di Pahang dan Sarawak kian pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan pagi ini.

Setakat 8 pagi, keseluruhan mangsa banjir di ketiga-tiga negeri berjumlah 3,809 orang.

Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa bertambah kepada 673 orang, melibatkan 194 keluarga, berbanding 407 orang daripada 106 keluarga malam tadi, dengan kesemua mereka ditempatkan di 15 PPS di negeri itu.

Sembilan daerah dilanda banjir dengan Kota Belud mencatatkan mangsa banjir tertinggi iaitu 210 orang, Tuaran (112); Kota Kinabalu (101); Paitan (73); Beaufort (78); Penampang (76); dan Putatan (23) manakala Kuala Penyu dan Sipitang tiada mangsa dipindahkan.

“Sebanyak 186 kampung terjejas. Trend pemindahan mangsa banjir meningkat selain amaran cuaca buruk di beberapa tempat di negeri ini,” demikian menurut kenyataan itu.

Di SARAWAK, hanya tinggal lima PPS masih beroperasi, kesemuanya di daerah Serian yang menempatkan 569 mangsa banjir.

Menurut JPBN Sarawak, PPS Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dengan 341 orang diikuti Dewan Kampung Rimba Padi (96); Dewan Masyarakat Serian (74); Dewan Kampung Slabi Entukuh (32) dan Dewan Balek Buk Janjun (26).

Sementara di PAHANG, jumlah mangsa banjir semakin berkurangan dengan hanya 2,567 orang masih berada di 28 PPS di tiga daerah negeri itu.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarat (JKM) melaporkan Pekan masih merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,632 orang di 16 PPS, diikuti Kuantan (715 orang, lima PPS) dan Maran (220 orang, tujuh PPS).

Selepas hampir dua minggu berada pada paras bahaya, portal infobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Pahang di Serambi, Pekan surut ke paras amaran pagi ini, menjadikan Sungai Jelai di Lipis sebagai satu-satunya sungai mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya di negeri berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :