Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak melipat semula khemah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Taman Malihah setelah pusat itu dinaiki air, awal pagi 14 Januari 2021. Mangsa banjir ditempatkan di pusat itu terpaksa dipindahkan ke PPS baharu di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Sungai Tengah yang berhampiran. Foto: BERNAMA
AGENDAALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

Mangsa banjir Sarawak meningkat, Sabah, Johor, Pahang kian pulih

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Jumlah mangsa banjir di Sarawak terus menyaksikan peningkatan setakat petang ini, dengan 12 lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Bagaimanapun, keadaan banjir di Sabah, Pahang dan Johor semakin pulih apabila jumlah mangsa di PPS berkurangan berbanding pagi tadi, manakala mangsa banjir di jajahan Pasir Mas, Kelantan kekal sama.

Setakat ini, jumlah penduduk di beberapa daerah di Sarawak yang dipindahkan meningkat kepada 1,826 orang, dengan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi adalah 33.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Bau menjadi daerah terbaharu dilanda banjir yang memaksa 71 orang penduduknya dipindahkan ke 11 PPS, manakala Kuching mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,179 mangsa yang kini ditempatkan di 12 PPS.

Sementara itu jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Serian meningkat kepada 452 orang dan kini berada di enam PPS, diikuti daerah Kota Samarahan (51 orang di sebuah PPS), Simunjan (44 orang di sebuah PPS) dan Miri (29 orang di dua PPS).

Di SABAH, mangsa banjir berkurangan kepada 712 orang daripada 173 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 935 orang daripada 336 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan menyatakan, mangsa terbabit ditempatkan di lapan PPS yang dibuka di lima daerah iaitu Kota Marudu, Pitas, Beaufort, Lahad Datu dan Paitan.

Menurutnya, sebuah pusat pemindahan di Kudat iaitu Arena Belia dan Sukan telah dibuka bagi menempatkan 73 orang daripada 13 keluarga di dua buah kampung yang terjejas, akibat fenomena air pasang besar.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 9,050 orang di 112 PPS, berbanding 11,422 orang di 126 PPS yang direkodkan pagi tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, Pekan mempunyai jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,311 orang diikuti Maran (2,075), Temerloh (1,618), Kuantan (853) Bera (780), Lipis (353), Jerantut (34) dan Raub (26).

Paras Sungai Pahang di dua lokasi pula masih melebihi paras bahaya iaitu Lubuk Paku, Maran dan Serambi, Pekan serta di Sungai Jelai di Lipis.

Di JOHOR, banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa terjejas berkurangan kepada 892 orang melibatkan 276 keluarga setakat 3.30 petang ini, berbanding 2,943 orang melibatkan 812 keluarga, pagi tadi, dengan kesemuanya berada di 10 PPS di lima daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata, Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa terjejas yang tinggi dengan 612 orang melibatkan 165 keluarga di lima PPS, diikuti Johor Bahru (118 orang, 72 keluarga di dua PPS), Kluang (74 orang, 17 keluarga di satu PPS), Segamat (76 orang, 20 keluarga di satu PPS) serta Batu Pahat (12 orang, dua keluarga di satu PPS).

Di KELANTAN pula, jumlah mangsa banjir membabitkan Pasir Mas kekal 32 mangsa setakat 3 petang dan berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM, kesemua mangsa banjir berkenaan termasuk seorang bayi lelaki, ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh.

Portal infobanjir.water.gov.my pula memaklumkan setakat petang ini Sungai Golok di Kuala Jambu masih mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 2.52 meter.

– BERNAMA


Pengarang :