Ketua operasi agihan zakat Sabak Bernam Azizul Fitry Salam (kanan) menyampaikan bantuan kecemasan kepada mangsa kebakaran Mohd Rizal Mohd Idrus (kiri) di Taman Sri Indah, Sungai Besar pada 13 Januari 2021. Foto Facebook LZS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mangsa kebakaran di Sungai Besar terima bantuan LZS

SHAH ALAM, 15 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan kecemasan kepada tiga keluarga mangsa kebakaran di Taman Sri Indah, Sungai Besar.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporatnya Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata sumbangan RM500 sebagai tanda prihatin terhadap nasib menimpa mangsa ekoran tragedi itu.

“Bantuan diharap meringankan beban mangsa bencana yang terpaksa mengharungi dugaan ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita berterima kasih kepada seluruh pembayar zakat kerana zakat yang dikeluarkan dapat membantu golongan ditimpa musibah,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata salah sebuah keluarga mangsa terbabit terpaksa tinggal sehelai sepinggang apabila keseluruhan rumah hangus terbakar manakala dua lagi unit kediaman mengalami kerosakan bumbung dan dinding.

Menurut Norajun Ainun, ketika kejadian, Mohd Rizal Mohd Idrus, 40, sedang berniaga di pinggir pekan Sungai Besar dan mengetahui insiden berkenaan selepas dimaklumkan jirannya.

“Beliau cuba bergegas tetapi tidak sempat berbuat apa-apa apabila semuanya musnah dijilat api dan tiada harta benda mampu diselamatkan,” kata Norajun Ainun.


Pengarang :