Bawang merah dan kuning dari China dan Pakistan yang dibawa masuk tanpa mematuhi syarat permit di Pelabuhan Klang Barat. Foto: Maqis Selangor
AGENSISELANGOR

Maqis Selangor rampas lebih 80,000 kilogram bawang seludup

SHAH ALAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor merampas 86,500 kilogram (kg) bawang merah dan kuning dari China dan Pakistan yang dibawa masuk tanpa mematuhi syarat permit di Pelabuhan Klang Barat, Selasa lalu.

Pengarahnya, Dr Tarmisal Alimin berkata rampasan dua kontena bernilai RM179,822.85 yang diseludup syarikat tempatan itu dirampas ketika pemeriksaan rutin dijalankan.

“Siasatan mendapati barangan terbabit tidak mematuhi Sijil Perakuan 3P (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan).

“Kegagalan mengemukakan maklumat tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011[Akta 728],” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 15(2) akta sama.

“Kami mengambil serius sebarang isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam kelestarian makanan negara,” katanya.


Pengarang :