Orang awam dilihat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka di tempat awam sebagai langkah pencegahan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar pusat bandar Labuan, Sabah pada 5 Oktober 2020. Foto BERNAMA
EXCOSELANGOR

Masyarakat dinasihat saling bantu patuhi SOP, elak penularan wabak

SHAH ALAM, 3 JAN: Masyarakat harus membantu antara satu sama lain patuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

EXCO Kesihatan Awam, Dr Siti Mariah Mahmud berkata peningkatan kes wabak wajar dijadikan teladan dan peringatan dalam diri masing-masing.

“Slogan kita jaga kita itu besar maknanya. Justeru, saya berharap orang ramai elak berkumpul di tempat sesak jika mahu keluarga kita dilindungi daripada jangkitan virus ini, jangan pentingkan diri,” katanya menerusi rancangan bual bicara Piknik Keluarga Maya di Facebooknya hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang awam agar menghapuskan tanggapan negatif terhadap penghidap atau bekas pesakit Covid-19.

“Tidak wajar salahkan mereka kerana sudah tentu pesakit ini tidak minta penyakit itu sebaliknya ia adalah ujian Allah kepadanya.

“Malah, stigma itu juga akan memudaratkan tahap kesihatan mental individu tersebut. Cuba kita letak diri kita dalam diri mereka, sudah tentu kita juga tidak mahu diperlakukan begitu,” katanya lagi.


Pengarang :