Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) berucap ketika majlis pelancaran portal pendidilan ePTRS.my menerusi Facebook pada 16 Januari 2021.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Calon peperiksaan dibantu belajar secara maya, semoga berjaya

SHAH ALAM, 16 JAN: Dato’ Menteri Besar mendoakan kejayaan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bulan depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif membantu pembelajaran pelajar yang terjejas akibat Covid-19.

“Kerajaan Negeri memahami kepayahan dilalui apabila sekolah ditutup beberapa kali sepanjang tahun lepas, sudah tentu ia menjejaskan persediaan pelajar.

“Justeru kita melaksanakan pembelajaran dalam talian, kita mahu pastikan anak Selangor terutama calon SPM dan STPM menikmati kemudahan pendidikan terbaik,” katanya berucap merasmikan portal eptrs.my menerusi Facebook hari ini.

Pada Mac tahun lepas Kerajaan Negeri melaksana program e-pembelajaran, Selangor Tutor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif tersebut yang menyediakan tiga juta soalan mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima 100,000 pendaftaran pelajar sejak mula dilaksana pada April sehingga September.

Peperiksaan SPM dan STPM bagi sesi 2020 masing-masing dipinda ke 22 Febuari dan 8 Mac tahun ini. Turut ditunda Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).


Pengarang :